Thursday, September 2, 2010

MENCARI BUKAN MENANTI,


“Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”
Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walaupun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.
Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.
Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.

Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan).Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik,.
Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya

Oleh kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, ada empat perkara yang perlu kita perhatikan.
1. Masa merupakan umur kita. Kita lihat betapa cepatnya masa berlalu. Ada dua perkara yang penting di dalam membicarakan mengenai masa.
i. jangan masa berlalu dengan sia-sia
ii. jangan masa berlalu dengan dosa

2. AmalKita juga perlu melihat dan mengkoreksi amalan kita. Amalan ada lima peringkatnya
i. amalan bentuk diri seperti sembahyang, puasa zakat dan sebagainya
ii. amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, menjadi anak yang taat dan sebagainya
iii. amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar
iv. amalan bentuk negara seperti mempertahankan negara, membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya
v. amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya.
Seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada.Ramai orang yang menjalani kehidupan tanpa amalan. Ada juga orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa.

3. Hubungan dengan AllahDi antara tujuan Ramadhan ialah untuk ketaqwaan. Kemuncak sifat taqwa ialah pergantungan kita kepada Allah.Ramai orang yang bergantung dengan harta mereka, sebab itulah jika harta habis mereka akan rungsing. Ramai orang yang bergantung dengan projek, sebab itu apabila tidak ada projek maka mereka akan rungsing.Oleh itu, kita perlulah menggantungkan hidup kita pada Allah. Orang yang mengantungkan hidup pada Allah tidak akan rungsing dan menderita jiwanya. Ini kerana Allah akan memberikannya jalan keluar bagi segala permasalahan dan memberinya rezki dari sumber yang tidak di sangka.

4. Rasa kehambaanRasa hamba adalah rasa tunduk di hadapan Allah. Orang tunduk di hadapan Allah, akan diangkat di hadapan manusia.Ramai orang yang merasa rendah diri terhadap keduniaan. Hasilnya dia akan menderita jika miskin, menderita jika pakai kereta buruk, menderita jika tak cantik. Ini kerana dia rasa rendah diri terhadap unsur keduniaan di hadapan manusia. Hasilnya hidupnya terhamba di dalam kemerdekaan. Hilang ketenangan dan lenyapkah kebahagiaan.


Konklusinya segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah.
Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”.
Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

No comments: